H1N1 di Selangor Masih Terkawal: Xavier

Shah Alam - Penularan virus Influenza A (H1N1) yang dibimbangi terutamanya ibu bapa di seluruh sekolah di negeri ini masih berada dalam keadaan yang boleh dikawal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkenaan dalam usaha mengawal dan memberikan apa juga bantuan kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita telah mengarahkan pegawai daerah seluruh negeri ini untuk mengadakan satu jawatankuasa tindakan di daerah masing-masing. Arahan ini telah dikeluarkan dua minggu yang lalu dan mereka telah pun dipanggil bermesyuarat untuk semua kawasan."

"Kalau perlu untuk mendapatkan arahan daripada Kementerian Kesihatan, kita di negeri Selangor bersedia untuk menerima arahan dan berbuat demikian mengikut peraturan, cadangan serta apa sahaja yang dimaklumkan kepada kami," katanya.

Beliau berkata, hanya sekolah terlibat sahaja terpaksa ditutup seperti yang dilaporkan manakala sekolah yang tidak terlibat beroperasi seperti biasa.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri mengutuk tindakan polis yang mengganggu satu jamuan makan malam yang dianjurkan oleh DAP Klang yang diadakan pada 21 Jun lalu.

Pengerusi Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok amat kesal kerana pihak penganjur telah mendapatkan permit sebelum penganjuran tersebut malah mereka mengikuti kehendak undang-undang bagi makan malam itu.

"Kami amat kesal kerana polis batalkan permit tersebut, semua jemputan dan orang ramai yang datang dihalang masuk. Kehadiran anggota polis yang ramai itu menakutkan orang ramai untuk masuk makan."

"Jadi saya meminta Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberikan satu penjelasan kenapa beliau menegah satu jamuan makan malam yang persediaannya telah dibuat beberapa bulan lalu," katanya.

Menurut beliau, tindakan tersebut seolah-olah menunjukkan bahawa wakil rakyat tidak boleh berucap dalam mana-mana majlis makan malam.


Sumber Berita: Sinar Harian, 25 Jun 2009, S25

0 comments:

top