Dr Xavier Cadang Warta Tanah

Merbau Berdarah - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar akan membawa cadangan kepada kerajaan negeri untuk mewartakan tanah di beberapa kawasan penempatan Desa Kasih di bawah kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada Pejabat Tanah dan Dearah mengenai kewujudan penempatan Desa Kasih di kawasan Sabak Bernam.

"Kita kan buat kajian dalam semua kawasan Desa Kasih untuk kenal pasti jumlah bilangan dalam rumah yang dibina, kosong dan diduduki. Kita mahu bawa cadangan kepada kerajaan negeri untuk mewartakan tanah ini di bawah kerajaan negeri Selangor."

"Kita sudah melihat sendiri kawasan tersebut dan mengenal perkara yang berlaku. Dalam lawatan ini kita kenal pasti bahawa kawasan ini masih belum diwartakan dan binaan rumah sebelum ini dibina begitu sahaja dan dibiarkan," katanya ketika sesi lawatannya ke kawasan berkenaan disini.

Xavier berkata, pewartaan ini adalah usaha membina rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk keluarga miskin melalui syarikat GLC Selangor.

"Kita nampak mereka telah membuat kerja dengan baik dan setiap bulan dalam mesyuarat kita terima banyak permohonan daripada keluarga miskin untuk PPRT kebanyakannya daripada Sabak Bernam," katanya.

Dalam keadaan itu beliau berkata, kerajaan negeri mesti bersiap sedia dengan tanah yang kosong untuk menyalurkan bantuan rumah PPRT kepada keluarga miskin mengikut peraturan sedia ada.

Katanya, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengatasi masalah kemiskinan. Dalam tempoh masa tertentu kita akan dapatkan mereka bantuan tersebut.

"Apabila mereka sudah menduduki rumah berkenaan, kita mahu mereka berusaha untuk keluarkan diri dan keluarga daripada kemiskinan. Kita beranggapan kemiskinan boleh dihapuskan melalui pendidikan."

"Pendidikan anak-anak khususnya perlu ditekankan dalam masa sama berusaha keras untuk meningkatkan pendapatan dalam kawasan masing-masing."

"Kita akan buat kajian dan keluarkan mereka dari kelompok kemiskinan dan hidup lebih baik," katanya.

Sumber Berita: Sinar Harian, 20 Jun 2009, S20



0 comments:

top