Pekan Sepang, 16 Mei 2009 - Exco Kerajaan Negeri Selangor telah menyampaikan 200 bungkusan 'hamper' barang makanan kepada 200 orang rakyat miskin dalam satu majlis yang dianjurkan oleh sekumpulan aktivis sosial setempat dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Pelek, Sepang Selangor.

Majlis turut dihadiri oleh Encik Wong (Penyelaras DUN Sungai Pelek), Hj. Borhan,(Penyelaras DUN Tg. Sepat), pegawai-pegawai dari Majlis Perbandaran Sepang (MPS), ahli-ahli Majlis MPS, Ahli Majlis Daerah Kuala Langat, Penghulu Azman (Penghulu Mukin Sepang), ketua-ketua kampung dan pemimpin politik setempat.

Selepas itu beliau telah meluangkan masa untuk melawat kawasan perparitan di hadapan Sekolah Kebangsaan Tamil Sepang (dalam pekan Sepang) untuk meninjau aduan ibubapa yang mengadu bahawa parit di hadapan sekolah dinaiki air setiap kali hujan lebat.

Ibubapa mengadu anak-anak mereka menghadapi kesulitan pergi atau balik dari sekolah apabila jalan besar di hadapan sekolah dinaiki air setiap kali hujan lebat hingga memasuki padang dan bangunan sekolah semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.

Keadaan ini menyebabkan ramai ibubapa enggan menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut menyebabkan penurunan jumlah pelajar di sekolah ini. Beberapa tahun sebelum ini terdapat lebih 600 pelajar belajar di sekolah ini tetapi sekarang hanya tinggal 367 pelajar.

Dr. Xavier menyatakan bahawa beliau akan segera menghubungi pihak MPS bagi melebarkan dan mendalamkan parit tersebut bagi mempermudahkan aliran air dalam usaha mengatasi masalah banjir yang sedang dihadapi.



Dilaporkan oleh:
Abdul Razak Bin Ismail
P.A kepada Dr. Xavier Jayakumar, Exco Negeri Selangor

0 comments:

top