SHAH ALAM 4 DIS : Dr Xavier Jayakumar menafikan dakwaan Persatuan Pengurusan Perkuburan dan Kebajikan Kaum India Malaysia (Mayanam) bahawa kawasan perkuburan Hindu di Mukim Api-Api, Kuala Selangor ditukar kepada kawasan perkuburan Islam.

Sebaliknya beliau berkata, kawasan di Lot 13 dengan keluasan 4.98 ekar diwartakan sebagai kawasan perkuburan Hindu dan ia merupakan kawasan baru.

Dr Xavier yang juga Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin itu menjelaskan Pejabat Tanah dan Dearah Kuala Selangor menyatakan kawasan tersebut adalah sebagai ganti kepada kawasan di Lot 14 yang dirizabkan untuk perkuburan Islam.

Menurutnya, kenyataan dibuat Mayanam adalah tidak benar dan tidak wujud sebarang unsur penyelewengan mengenainya.

“Lot 13 Mukim Api-Api ini adalah tapak cadangan baru bagi menggantikan tapak perkuburan Hindu di Lot 14 kerana ia lebih luas dan sesuai serta dapat menampung keperluan semasa. Lot 13 ini juga merupakan tanah simpanan kuari dengan nombor geran 707/1909 yang diwartakan sebagai tapak perkuburan Hindu yang baru.

“Sudah ada kawasan perkuburan, jadi apa dikatakan oleh persatuan itu tidak benar. Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor telah wartakan satu kawasan 4.98 ekar untuk orang India,” kataya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Sinar Harian hari ini melaporkan Mayanam memohon keprihatinan Kerajaan Negeri menyediakan kawasan baru menggantikan rizab tanah kubur India yang kini diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Islam Teluk Piai.

Presidennya, M Raman, 43, berkata, melalui Laporan Inventori Tanah Perkuburan Selangor 2010 yang dipersetujui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Julai 2011 lalu, Tanah Perkuburan Islam Teluk Piai itu adalah tanah rizab perkuburan Hindu.

Dr Xavier berkata, memang ada beberapa kawasan perkuburan diwartakan adalah kawasan asal bagi penanaman kelapa sawit.

“Kita dapati ada beberapa keping tanah diwartakan untuk kawasan perkuburan bagi keperluan orang India, Cina dan sebagainya. Bila ia diwartakan, jawatankuasa dipertanggungjawabkan membuat garis panduan untuk pemberian tanah-tanah ini kepada persatuan-persatuan berkenaan,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top