PGK RM1,500 Amat Relevan: Xavier

Klang - Walaupun keputusan mengubah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dinaikkan daripada RM731 sebulan sebelum ini kepada RM1,500 dipertikaikan sesetengah pihak, namun kerajaan negeri tetap mempertahankan keputusan itu sebagai relevan.

EXCO Selangor, Xavier Jayakumar berkata, keputusan ini berdasarkan perubahan iklim ekonomi dan kewangan serta kenaikan kadar inflasi menyebabkan ramai rakyat terutamanya di kawasan bandar mengalami masalah kesempitan hidup.

Katanya, masalah kemiskinan sebenarnya lebih ketara di kawasan bandar kerana perbelanjaan sara hidup yang tinggi sedangkan gaji atau pendapatan yang diterima mereka tidak memadai bagi memenuhi keperluan hidup mereka.

"Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai ramai tanggungan, dengan pendapatan RM1,500 sebulan sudah tentu ia tidak cukup bagi menampung perbelanjaan keluarga seperti belanja persekolahan anak, sewa rumah dan sebagainya."

"Oleh itu PGK RM1,500 adalah amat relevan dalam keadaan sekarang memandangkan segala perbelanjaan meningkat namun kadar gaji kebanyakannya masih di takuk lama. Ini menyebabkan banyak berlaku masalah kemiskinan di kawasan bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan sumbangan ibu tunggal dan warga emas di Bandar Baru Klang di sini.

Sementara itu, beliau mahu segelintir masyarakat yang suka membazir agar menghentikan tabiat itu sebaliknya keluarga disarankan berjimat cermat dan mengutamakan pendidikan anak-anak agar mereka mendapat pendidikan sempurna.

"Ibu bapa harus tegas dalam hal pendidikan anak-anak kerana pendidikan adalah sesuatu yang amat penting pada kehidupan sekarang.

"Seseorang yang mempunyai pendidikan tinggi dan memperoleh pekerjaan sesuai pasti dapat meringankan bebanan keluarga, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada pekerja warga asing dan mahu menambahkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang semakin terpinggir dari mendapat pekerjaan.

"Masih ramai rakyat tempatan yang mahu membuat kerja yang dilakukan pekerja warga asing cuma masalahnya kebanyakan majikan lebih suka mengupah (warga asing) kerana upahnya jauh lebih murah."

"Kita mahu kerja ini dipenuhi rakyat tempatan dengan gaji minima RM1,500 dalam usaha meningkatkan taraf hidup sesebuah keluarga yang masih berada diparas kemiskinan," katanya.

Xavier berkata, kerajaan negeri juga bimbang dengan trend kebanjiran pekerja warga asing dan perkara ini perlu dikawal dari berterusan kerana bimbang akan memberi kesan buruk kepada sosial serta pembangunan rakyat.

"Kita akan cuba mencipta lebih banyak peluang pekerjaan menerusi beberapa program pembangunan yang dirancang kerajaan negeri bagi memberi peluang kepada rakyat tempatan mendapat pekerjaan."

"Kita juga fokus memberikan latihan kepada golongan belia agar mereka mempunyai kemahiran untuk menggantikan pergantungan kepada pekerja warga asing. Walaupun bekerja sebagai buruh namun sebagai pekerja mahir mereka sepatutnya menerima upah setimpal dengan kemahiran mereka," katanya.


Sumber: Sinar Harian, 30 Jun 2009, S18


Kes Demam Denggi Masih Tertinggi Di Negeri Selangor

Penyakit Demam Denggi masih merupakan penyakit berjangkit tertinggi yang dilaporkan di negeri Selangor, walaupun notifikasi mingguan menunjukkan sedikit penurunan.

Ini ditegaskan oleh EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar dalam satu sidang media selepas beliau mempengerusikan sesi mesyuarat bulanan 'Stanco Kesihatan' dengan semua ketua-ketua / pengarah kesihatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai-pegawai Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seluruh negeri Selangor.

Kata Dr Xavier lagi, sehingga pagi tadi, sejumlah 12,652 kes telah dinotifikasikan ke Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Menurutnya, daerah-daerah utama yang melaporkan kes demam denggi ini ialah Daerah Petaling sebanyak 3,882 kes, Hulu Langat 3,020 kes, Klang 2,262 kes dan Gombak 1,616 kes.

"Notifikasi mingguan penyakit demam denggi menunjukkan tren penurunan daripada awal tahun ini, iaitu daripada 875 kes setiap minggu pada minggu pertama bulan Januari 2009 kepada 307 kes seminggu sahaja", katanya.

Dr Xavier berkata demikian pada sidang media mengenai situasi penyakit demam denggi negeri Selangor, di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Bangunan SUK di Shah Alam, hari ini.

"Bagaimanapun katanya langkah-langkah intensif kawalan penyakit berkenaan perlu dikekal, bagi mengurangkan kes demam denggi di Selangor," kata Dr Xavier.

Tempat-tempat utama yang menjadi tumpuan pembiakan nyamuk aedes ialah rumah kedai sebanyak 9,103 kes, tanah atau lot kosong 285 kes, kawasan kilang 175 kes dan tapak pembuangan sampah 88 kes.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan sejumlah 1,562 kompaun membabitkan kutipan denda sebanyak RM421,375.

Dr Xavier menegaskan, masyarakat tempatan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi membendung peningkatan kes demam denggi.


Selangor Catat Rekod Tertinggi H1N1

Selangor merupakan negeri paling banyak mencatatkan kes penularan wabak Influenza A, H1N1, berbanding negeri lain di negara ini.

EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, penularan wabak itu menyebabkan tiga lagi sekolah terpaksa ditutup menjadikan lapan sekolah ditutup sejak seminggu lalu.

Bercakap dalam sidang media di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) di Bangunan SUK hari ini, beliau bagaimanapun berkata, keadaan masih lagi terkawal.

Beliau turut disertai oleh Dr Rosnah Hadis, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr Venugopal dan Dr Anita juga dari JKNS dalam sidang media tersebut.

"Situasi sehingga 8.00 pagi ini sekolah yang telah ditutup ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jalan Davidson, Sri Cempaka International School, SRK Assunta 1 & 2, SMK Damansara Utama 2 (1 kelas sahaja ditutup), SMK Wangsa Maju SS2 kelas juga ditutup, SMK Seksyen 9, SMK Abdul 2 Kudat, dan SJK (C) Suun Jin High School," kata Dr Xavier.

Dr Xavier berkata, sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seksyen 9 Shah Alam yang ditutup minggu lalu, dibuka semula pagi tadi selepas didapati bebas daripada penularan penyakit itu.

Beliau berkata, sehingga 28 Jun lalu, Selangor mencatat 124 kes H1N1.

Menurutnya, walaupun wabak penyakit bawaan itu masih terkawal, namun kerajaan negeri harus memastikan penularan wabak itu dapat dibendung dengan kerjasama semua pihak.

Dr Xavier berharap agar orang ramai tidak panik dan sentiasa peka dengan langkah-langkah pencegahan wabak ini, bagi menghalangnya dari terus menular di kalangan masyarakat.

Sumber: TV Selangor, 29 Jun 2009.

Disunting Oleh,
ABDUL RAZAK BIN ISMAIL
P.A kepada Dr Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor
Ampang, 29 Jun 2009 - Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Puan Noradidah Bte Ahmad hari ini telah menolak permohonan pihak pembelaan untuk membawa 3 orang saksi mereka yang terdiri dari Pesuruhjaya Suhakam untuk memberi keterangan dalam kes perbicaraan 11 orang aktivis Reformasi yang ditangkap semasa perhimpunan 100,000 rakyat di Lebuhraya KESAS / Jalan Kebun pada 25 November 2000.

Mahkamah juga turut menolak permohonan pihak pembela untuk membentangkan Kertas Putih Penyiasatan Suhakam terhadap kekasaran Polis semasa menyuraikan perhimpunan tersebut.

Kesebelas aktivis tersebut diwakili oleh YB Yusmadi Mohd Yusof (Ahli Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua AMK) dan dibantu Puan Fahda Nur Ahmad Kamar.

Mahkamah telah menetapkan 21 Julai 2009 untuk penghujahan.

Dilaporkan oleh,
ABDUL RAZAK BIN ISMAIL
P.A kepada Dr Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor

(juga salah seorang OKT yang dibicarakan)


Media Alert

Program Penyerahan Hamper
Kepada Masyarakat Miskin di
Kampung Jawa, Klang


Kepada Semua Editor Media


YB EXCO Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar akan membuat lawatan dan menyerahkan 23 unit hamper barangan makanan kepada masyarakat miskin di Kg. Jawa, Klang. Butiran adalah seperti berikut:

Tarikh: 30 Jun 2009 (Selasa)

Masa: 2.30 petang

Tempat:
Dewan JKKK Kampung Jawa, Batu 1 1/4, Jalan Kota Raja, Klang
(Contact Person: Encik Hanafiah - 016 285 1163)

Tuan / Puan dijemput hadir untuk membuat liputan.

Terima kasih,

ABDUL RAZAK BIN ISMAIL
P.A kepada Dr Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor
27 Jun 2009 - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengurangkan hampir 50 peratus kes demam denggi pada minggu lalu, berbanding minggu-minggu sebelumnya.

EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia dicapai dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor dan kerajaan negeri.

Menurutnya, Selangor merupakan antara negeri tertinggi mencatat kes demam denggi, khususnya di Shah Alam, Subang Jaya dan Klang.

Dr Xavier berkata demikian ketika melancarkan Program Cegah Denggi DUN Batu Tiga di Seksyen 24, Shah Alam, pagi tadi.

ADUN Batu Tiga yang juga EXCO Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, turut hadir.

Dr Xavier juga turut menyarankan agar penduduk di setiap kawasan terbabit meluangkan masa 10 minit setiap hujung minggu bagi menjaga membersihkan kawasan masing-masing.

Human Rights Training

Please be informed that Member of Parliament, Charles Santiago is organizing a Human Rights Training as below:

Date: 28th June 2009

Time: 10am to 2pm

Venue: MP Klang Community Centre, 2A, Jalan Bayu Tinggi 8, Batu Unjur, 41200 Klang

Organizer: Charles Santiago, Member of Parliament Klang

Speakers:
Mr Tah Moon Hui (Suaram)
Mr Richard Wee (Human Rights Committee of Malaysian Bar)

Participants will be briefed on human rights issues in Malaysia, their rights when stopped or arrested by police, their rights to legal representation, their rights during detention and others.

For further information, plerefer to program outline below. Please do not hesitate to contact Yap 012-2658448 or Sarah 016-6267797 should you have any queries.


Program Outline:

9.45 - 10.00am
Registration

10.00 - 10.10
Opening speech by MP Klang Charles Santiago

10.10 - 12.10pm
1. Introduction to Human Rights & General Principles
2. Human Rights in Malaysia - Key Concerns & Challenges (Detention without trial, civil and political rights, migrant and refugee, etc.)
3. Open discussion, 30 minutes
[Speaker: Mr Mah Moon Hui - Suaram]

12.10 - 12.40pm
Lunch time (will be served)

12.40 - 14.00pm
Know your rights
1. Introduction to Bar Council's Redbook Pamphlet
2. What is your rights when facing police, arrest, detention and search warrant
[Speaker: Mr Richard Wee - HRC, The Malaysian Bar]

14.00pm
End


Petaling Jaya, 24 Jun 2009 - Kerajaan Negeri Selangor hari ini menghulurkan bantuan kepada 27 buah sekolah Tamil dan 4 badan bukan kerajaan (NGO).

Majlis menghulurkan bantuan tersebut telah diadakan di Hotel Armada, Petaling Jaya. Sebanyak RM1.6 juta telah diperuntukkan untuk program bantuan kepada sekolah-sekolah tamil dan NGOs tersebut. Badan bukan kerajaan yang terlibat dalam program ini adalah Tamil Foundation, Edu-cation Welfare and Research Foundation (EWRF) dan Child Information Learning and Development Centre (Child).

Cek bantuan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar. Turut menghadiri majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Klang, YB Charles Santiago.

Juga menerima bantuan adalah Parkinson Association of Malaysia dengan menerima cek sebanyak RM10,000. Menurut persatuan tersebut, ini adalah kali pertama mereka menerima bantuan sebanyak itu daripada badan kerajaan.

Dilaporkan oleh,
Jestin Raj Savarimuthu
P.A kepada Dr Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor
Petaling Jaya - Kerajaan negeri akan menubuhkan sepuluh buah prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan murid.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, penubuhan prasekolah berkenaan dibuat dengan kerjasama tiga buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, prasekolah berkenaan akan ditubuhkan di lokasi yang sesuai dan beliau menjangkakan 30 hingga 40 buah prasekolah dapat ditubuhkan selepas tiga tahun bagi memenuhi bilangan populasi yang kian meningkat.

"Seramai 42 peratus pelajar Tahun Satu yang memasuki SJKT tidak tahu membaca dan menulis, oleh itu kerajaan negeri akan menubuhkan 10 buah prasekolah pada tahun depan di tempat yang memerlukan."

"Masalah ini berlaku kerana kewangan keluarga berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak ke prasekolah swasta. Kita akan memberikan diskaun sebagai usaha menggalakkan ibu bapa menghantar anak ke prasekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan dana bernilai RM1.6 juta kepada tiga buah NGO yang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf pendidikan SJKT di negeri ini.

Tiga NGO berkenaan adalah Child Information Learning and Development Centre (Child) menerima cek bernilai RM300,000, Edu-cation Welfare and Research Foundation (EWRF) (RM150,000) dan Tamil Foundation (RM182,250).

Katanya, antara sekolah yang akan dibina prasekolah adalah SJKT Taman Permata dan SJKT Ladang Ampar Tenang, Dengkil; SJKT Ladang Bukit Raja, Klang; SJKT Ladang Sungai Terap, Kuala Selangor dan SJKT Bandar Baru Salak Tinggi Sepang.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan kerjasama dan persetujuan daripada pihak sekolah, ibu bapa dan Lembaga Pengelola Sekolah dalam membina prasekolah berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri sedang mengkaji cara untuk mendapatkan 40 hingga 50 guru prasekolah bagi mengisi kekosongan dan mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi tenaga pengajar dengan kelayakan tertentu.

"Jika sekolah yang telah ditetapkan untuk ditubuhkan prasekolah tidak bersetuju, kita akan bina di sekolah lain. Pada tahun depan juga kita merancang untuk membina tiga buah prasekolah di kawasan luar bandar antaranya di Ijok dan Klang."

"Bagi mereka yang berminat menjadi guru, kita mungkin menghantar mereka mengikuti program anjuran Child untuk memberi kemahiran dan ada juga cadangan daripada pihak swasta agar mengadakan kursus selama setahun kepada bakal guru berkenaan," katanya.

Dr Xavier berkata, Child, EWRF dan Tamil Foundation dipertanggungjawabkan untuk menggunakan dana RM1.6 juta yang disalurkan kerajaan negeri.


Sumber Berita: Sinar harian, 25 Jun 2009, S25


Shah Alam - Penularan virus Influenza A (H1N1) yang dibimbangi terutamanya ibu bapa di seluruh sekolah di negeri ini masih berada dalam keadaan yang boleh dikawal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkenaan dalam usaha mengawal dan memberikan apa juga bantuan kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita telah mengarahkan pegawai daerah seluruh negeri ini untuk mengadakan satu jawatankuasa tindakan di daerah masing-masing. Arahan ini telah dikeluarkan dua minggu yang lalu dan mereka telah pun dipanggil bermesyuarat untuk semua kawasan."

"Kalau perlu untuk mendapatkan arahan daripada Kementerian Kesihatan, kita di negeri Selangor bersedia untuk menerima arahan dan berbuat demikian mengikut peraturan, cadangan serta apa sahaja yang dimaklumkan kepada kami," katanya.

Beliau berkata, hanya sekolah terlibat sahaja terpaksa ditutup seperti yang dilaporkan manakala sekolah yang tidak terlibat beroperasi seperti biasa.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri mengutuk tindakan polis yang mengganggu satu jamuan makan malam yang dianjurkan oleh DAP Klang yang diadakan pada 21 Jun lalu.

Pengerusi Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok amat kesal kerana pihak penganjur telah mendapatkan permit sebelum penganjuran tersebut malah mereka mengikuti kehendak undang-undang bagi makan malam itu.

"Kami amat kesal kerana polis batalkan permit tersebut, semua jemputan dan orang ramai yang datang dihalang masuk. Kehadiran anggota polis yang ramai itu menakutkan orang ramai untuk masuk makan."

"Jadi saya meminta Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberikan satu penjelasan kenapa beliau menegah satu jamuan makan malam yang persediaannya telah dibuat beberapa bulan lalu," katanya.

Menurut beliau, tindakan tersebut seolah-olah menunjukkan bahawa wakil rakyat tidak boleh berucap dalam mana-mana majlis makan malam.


Sumber Berita: Sinar Harian, 25 Jun 2009, S25

Peniaga digalakkan Mohon Bantuan

Dengkil - Peniaga kecil yang berhasrat untuk memohon bantuan membeli peralatan bagi tujuan menjalankan perniagaan boleh mengemukakan permohonan bantuan peralatan kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, beliau masih lagi belum menerima sebarang permohonan bantuan oleh peniaga sedangkan peruntukan tersebut sudah disediakan kerajaan negeri atas dasar prihatin membantu mereka.

Menurut beliau, antara bantuan peralatan yang diberikan adalah seperti peti sejuk beku, mesin air tebu, mesin jus dan sebagainya yang boleh digunakan peniaga yang berpendapatan rendah bagi meningkatkan produktiviti barangan atau makanan keluaran mereka.

"Peniaga yang ingin memohon bantuan boleh meminta borang dipejabat daerah dan kita akan hantar pegawai untuk menyiasat bagi memastikan mereka layak sebelum bantuan tersebut diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesra Rakyat dan Kerajaan Prihatin serta penyerahan bantuan kepada 120 penduduk miskin di Pusat Penjaja Taman Dengkil Jaya dekat sini.

Selain itu Dr Xavier berkata, bantuan 'micro credit' iaitu bantuan modal juga disediakan kerajaan negeri untuk peniaga membuka dan meneruskan perniagaan dimana mereka perlu mengemukakan permohonan sepertimana bantuan peralatan perniagaan.

Beliau berkata, penghulu dan ketua kampung perlu memainkan peranan dengan lebih aktif bagi memastikan rakyat negeri ini yang layak menerima semua bentuk insentif yang disediakan kerajaan negeri menerimanya.

Selain itu, tiga unit kerusi roda juga diserahkan kepada tiga penerima termasuk orang kurang upaya dan warga emas yang memerlukannya bagi menjalani hidup yang lebih selesa pada majlis tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Dengkil Jaya, Ramlee Dolah dalam ucapannya memohon beberapa peruntukan termasuk naik taraf padang permainan Taman Dengkil Jaya dan memasang pagar bagi memisahkan kawasan tasik dengan padang berkenaan dapat dilaksanakan.

"Penduduk juga memohon agar kerajaan negeri menyediakan padang futsal bagi membolehkan belia bermain kerana di sini tidak terdapat kemudahan tersebut," katanya.

Dalam pada itu Dr Xavier pula menyatakan pihaknya akan memastikan perkara yang dikemukakan pengerusi penduduk akan diberi perhatian dan diberikan dalam sedikit masa lagi.

"Tidak ada masalah untuk kita menyediakan prasarana tersebut. Kita akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Angkat Dengkil, Yaakob Sapari sebelum projek naik taraf padang dan memasang pagar sekelilingnya diusahakan kelak," katanya.


Sumber Berita: Sinar Harian, 24 Jun 2009, S22


Charles Santiago: Polis Perlu Elak Salah Guna Kuasa

Shah Alam, 23 Jun 2009 - Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan tindakan Polis menarik balik permit majlis makan malam dan ceramah DAP Klang pada saat akhir dengan alasan keselamatan sebagai tidak efisien dan tidak munasabah.

Menurutnya, penarikan permit berkenaan dibuat atas desakan Barisan Nasional (BN) bagi menghalang pihaknya mendedahkan kepada rakyat mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Katanya, polis seharusnya bersifat bebas tanpa mendengar desakan daripada mana-mana pihak dalam membuat sebarang keputusan dan tidak dijadikan alat parti politik.

"Saya minta permit pada 17 Jun lalu dan diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof namun Jumaat lalu saya mendapat surat mengatakan permit berkenaan dibatalkan dengan alasan keselamatan."

"Majlis berkenaan hanya untuk memberi jamuan kepada rakyat sempena sambutan Hari Bapa dan ulang tahun ke-43 DAP Klang. Tindakan polis menghalang kami menjamu rakyat adalah tidak munasabah."

"Mereka kata permit ditarik balik atas alasan keselamatan, tindakan ini berunsur yang menjadikan polis alat untuk kepentingan mereka. BN menggunakan polis yang seharusnya bebas dan bukannya mendengar arahan mana-mana parti politik."

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan polis menarik balik permit majlis makan malam dan ceramah DAP Klang anjurannya kelmarin.

Berikut adalah kronologi kejadian pada hari Ahad tersebut:

4:45pm
7 trak FRU dan 2 water cannon diletakkan dalam keadaan sedia berhampiran Pejabat Ahli Parlimen Klang.

4:55pm
Polis menutup jalan masuk ke kawasan jamuan makan malam DAP

5:35pm
Charles Santiago dan Tee Boon Hock mengadakan rundingan dengan polis. Menghubungi CPO selangor tetapi tidak jawab, OCPD Klang menyatakan bahawa beliau perlu berbincang dahulu dengan CPO.

6:15pm
8 trak FRU berhenti dan berada dalam keadaan sedia dihadapan Pejabat Ahli Parlimen Klang.

6:20pm
Pihak polis merampas PA system.

7:25pm
YB Ronnie Liu tiba. Ramai orang datang menunjukkan sokongan, FRU mengekang orang ramai daripada menghampiri.

7:40pm
Charles santiago, Ronnie Liu, Ean Yong mengadakan sidang akhbar, 300 orang hadir.

8:00pm
Akhirnya, orang ramai diberi jamuan.

8:05pm
Beribu rakyat Klang melintasi kekangan polis untuk menyertai Charles, Lim Kit Siang untuk jamuan makan DAP.

Berikutan kejadian tersebut YB Charles Santiago telah memberi notis kepada Dewan Rakyat bagi membincangkan kepentingan orang ramai serta meminta Perdana Menteri supaya membawa reformasi secara keseluruhan terhadap Polis Di Raja Malaysia.

Sumber Berita:
votecharles.wordpress.com
Sinar Harian, 23 Jun 2009, S4
Batu Caves - Kerajaan negeri sentiasa memandang serius masalah virus H1N1 termasuk mengambil beberapa pendekatan agar virus itu dapat ditangani daripada merebak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Berkata, Jabatan Kesihatan negeri bersama pegawai-pegawai Pejabat Daerah di negeri ini telah mewujudkan dan menubuhkan satu jawatankuasa di kawasan masing-masing berhubung dengan kes H1N1.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersiap sedia dan peka dengan masalah ini malah menasihatkan rakyat yang baru pulang dari luar negara serta mempunyai simptom selesema dan sebagainya perlu segera menjalankan pemeriksaan di hospital berdekatan termasuk ahli keluarga mereka.

"Ini penting supaya virus itu tidak dijangkit orang lain dan kerana itu kita telah mewujudkan jawatankuasa yang terlibat dalam hal ini di seluruh daerah negeri ini."

"Dengan adanya jawatankuasa itu, kita sentiasa bersiap sedia termasuk menyediakan tempat kuarantin bagi mereka yang disyaki H1N1," katanya.

Menurutnya, apa yang lebih penting masyarakat sentiasa mementingkan penjagan dan kebersihan supaya tidak ada lagi kes-kes terbaru yang dilaporkan di negeri ini.

"Kita memang mengambil serius hal ini dan sentiasa membincangkan dari masa ke semasa untuk kita mengawal dan mengambil langkah seterusnya dalam menangani isu ini," katanya.


Sumber Berita: Sinar Harian, 23 Jun 2009, S5

Masyarakat India Perlu Atasi Konflik Dalam Politik

Sabak Bernam - Masyarakat India perlu bersama mencari jalan penyelesaian dalam menghadapi konflik dalam politik bagi mengelakkan berlakunya perselisihan dalam parti.

EXCO Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar, golongan ini diingatkan supaya bekerjasama kerana mereka merupakan golongan minoriti di Sabak Bernam.

Menurutnya, sebagai golongan minoriti, masyarakat India perlu mengelakkan dari berlakunya salah faham penerimaan maklumat tetapi sebaliknya bersama menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Dalam politik, apabila ada konflik atau percanggahan pendapat, mereka perlu duduk semeja berbincang. Ini kerana dengan perbincangan masalah boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas konflik yang berlaku diantara kaum India dalam Parti Keadilan Rakyat Bahagian Sabak di sini.

Dr Xavier berkata, selain konflik, kadar gejala sosial dalam penempatan miskin tidak kira di bandar mahupun di luar bandar adalah sama sahaja dan keadaan ini memerlukan perhatian semua pihak untuk menanganinya.

Katanya, jawatankuasa surau, masjid, kuil dan sekolah juga perlu bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam menangani isu sosial.

"Jalan penyelesaian bagi masalah gejala sosial ini perlu dicari dan golongan muda yang disasarkan perlu ada saluran mereka sendiri dalam meneruskan kehidupan."

"Justeru itu, bermula dari awal contohnya dari peringkat sekolah, mereka perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat menerusi taklimat."

"Dalam masa sama, ibu bapa perlu memainkan peranan peranan sebagai penjaga dan bukan hanya berharap pada kerajaan semata-mata untuk menangani permasalahan di kalangan anak-anak mereka," katanya.

Dalam pada itu, Dr Xavier juga mahu pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil berat terhadap kebajikan golongan minoriti yang kebanyakannya hidup dalam kemiskinan.

Sumber Berita: Sinar Harian, 22 Jun 2009, S20


Bilangan diberhentikan Kerja Turun

Batu Caves - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar berkata, terdapat sedikit penurunan bilangan mereka yang berhenti kerja di negeri ini sehingga bulan lalu.

Menurut beliau, biarpun jumlah itu tidak banyak namun ia memberikan petanda positif temasuk syarikat-syarikat besar dari sektor pembinaan dan perkilangan di negeri ini telah mula mengambil dan menerima pekerja.

"Penurunan itu adalah satu respons yang positif, bagaimanapun kerajan negeri sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku dalam tempoh lima atau enam bulan yang akan datang."

"Kita juga telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat termasuk inisiatif kepada mereka yang berhenti bekerja," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mewujudkan hotline melalui internet termasuk menyediakan kaunter di setiap tempat pihak berkuasa tempatan (PBT), dan Pejabat Daerah untuk memberi ruang kepada orang ramai yang masih mencari pekerjaan.

Katanya, selain itu, pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan Jobstreet bagi memudahkan rakyat di negeri ini untuk mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

"Peluang yang telah diwujudkan perlu direbut dan selain mencari kerja mereka juga boleh berkongsi idea ataupun bertanyakan sesuatu masalah kepada mereka yang berkenaan," katanya kepada Sinar Harian disini semalam ketika melawat sebuah rumah kebajikan disini semalam.

Menurutnya, biarpun kaunter tersebut telah diwujudkan namun sambutan yang diterima kurang memberangsangkan berbanding perkhidmatan internet yang telah disediakan.

"Laporan yang kita terima tidak ramai orang awam yang datang ke kaunter-kaunter yang telah disediakan di setiap PBT dan kita sendiri tidak mengetahui apa puncanya sedangkan hebahan telah dibuat melalui media dan sebagainya," katanya.

Menurut beliau, mereka yang memikirkan untuk berhenti atau menukar kerja dinasihatkan tidak berbuat demikian lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi semasa.

"Memang kita menasihatkan dalam keadaan sekarang tidak ada individu yang berfikir untuk berhenti kerja memandangkan pekerjaan sukar untuk dicari dalam waktu ini," katanya.


Sumber Berita: Sinar Harian, 21 Jun 2009, S3


Dengkil, 21 Jun 2009 - YB EXCO Selangor, Dr Xavier Jayakumar telah menghadiri Program 'Kerajaan Prihatin Bersama Rakyat' anjuran Persatuan Penduduk Taman Dengkil Jaya, Selangor yang diadakan di pusat penjaja di taman tersebut.

Dalam majlis tersebut, belia turut menyampaikan 3 buah kerusi roda dan hamper barangan makanan kepada lebih 100 orang miskin dari kawasan setempat.

Beliau turut menerima aduan dari masyarakat tempatan bagi memperbaiki padang bolasepak yang memerlukan kerja-kerja pemulihan. Penduduk juga memohon untuk mendapat pemasangan bumbung untuk dibina di pusat penjaja tersebut bagi dijadikan tempat aktiviti kemasyarakatan dijalankan di situ. Penduduk juga memohon agar dibina sebuah gelanggang futsal untuk aktiviti anak-anak muda di kawasan tersebut.

Selain dari itu, masyarakat di taman tersebut mengadu tentang permasalahan kutipan sampah dan pembersihan longkang-longkang di taman tersebut.

Dr Xavier dalam ucapannnya menegaskan bahawa kerajaan negeri akan meminta pihak Majlis Perbandaran Sepang (MPS) untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setempat dalam masa terdekat.

Beliau juga berharap pejabat DUN Dengkil mengedarkan akhbar-akhbar SelangorKini yang diberikan percuma kepada masyarakat setempat bagi membolehkan mereka mendapat maklumat tentang aktiviti-aktiviti kerajaan negeri.

Beliau telah disertai 3 orang Ahli Majlis MPS, pegawai-pegawai dari MPS, ketua-ketua kampung serta pemimpin-pemimpin Keadilan Dun Dengkil.


Dilaporkan oleh,
ABDUL RAZAK BIN ISMAIL
P.A kepada Dr Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor

H1N1: Kerajaan Negeri Pantau Daerah

Shah Alam - Kerajaan Negeri Selangor sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya wabak H1N1 menular ke negeri ini dengan kerjasama semua agensi kesihatan yang ada.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, bagi memastikan penularan wabak berkenaan pemantauan di buat bermula di peringkat daerah.

Katanya, semua Pegawai Daerah (DO) dipertanggungjawabkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa memantau wabak berkenaan di daerah masing-masing.

"Buat masa ini Selangor tidak mempunyai sebarang masalah dan tiada kes H1N1 dicatatkan, Saya telah mengarahkan setiap daerah yang diketuai oleh DO untuk menubuhkan jawatankuasa untuk bersiap sedia hadapi penularan wabak berkenaan."

"DO perlu memanggil semua ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan dan semua agensi yang terlibat untuk mengadakan mesyuarat dan memaklumkan dengan segera sekiranya terdapat sebarang perkembangan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah kerajaan negeri dalam menangani penularan wabak berkenaan yang sehingga kini hampir 30 kes di catatkan di seluruh negara.

Menurutnya, beliau juga telah mengadakan satu mesyuarat dengan semua DO dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Rosnah Hadis bagi mencari pendekatan yang perlu dalam memastikan persiapan menghadapi penularan wabak berkenaan dibuat dengan rapi.

Katanya, kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan dalam memastikan usaha yang dilakukan semua agensi yang terlibat berjaya.

"Masyarakat perlu bekerjasama dengan kita untuk menangani penularan wabak ini. Individu yang baru pulang dari luar negara diminta untuk hadir segera ke mana-mana hospital berhampiran bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan terutamanya mereka yang mempunyai simptom-simptom H1N1."

"Sehingga kini, saya dapati masyarakat di negeri ini mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dalam isu penularan wabak H1N1 dan sentiasa mengamalkan sikap berjaga-jaga," katanya.


Sumber Berita: Sinar Harian, 20 Jun 2009, S3


Merbau Berdarah - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar akan membawa cadangan kepada kerajaan negeri untuk mewartakan tanah di beberapa kawasan penempatan Desa Kasih di bawah kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada Pejabat Tanah dan Dearah mengenai kewujudan penempatan Desa Kasih di kawasan Sabak Bernam.

"Kita kan buat kajian dalam semua kawasan Desa Kasih untuk kenal pasti jumlah bilangan dalam rumah yang dibina, kosong dan diduduki. Kita mahu bawa cadangan kepada kerajaan negeri untuk mewartakan tanah ini di bawah kerajaan negeri Selangor."

"Kita sudah melihat sendiri kawasan tersebut dan mengenal perkara yang berlaku. Dalam lawatan ini kita kenal pasti bahawa kawasan ini masih belum diwartakan dan binaan rumah sebelum ini dibina begitu sahaja dan dibiarkan," katanya ketika sesi lawatannya ke kawasan berkenaan disini.

Xavier berkata, pewartaan ini adalah usaha membina rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk keluarga miskin melalui syarikat GLC Selangor.

"Kita nampak mereka telah membuat kerja dengan baik dan setiap bulan dalam mesyuarat kita terima banyak permohonan daripada keluarga miskin untuk PPRT kebanyakannya daripada Sabak Bernam," katanya.

Dalam keadaan itu beliau berkata, kerajaan negeri mesti bersiap sedia dengan tanah yang kosong untuk menyalurkan bantuan rumah PPRT kepada keluarga miskin mengikut peraturan sedia ada.

Katanya, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengatasi masalah kemiskinan. Dalam tempoh masa tertentu kita akan dapatkan mereka bantuan tersebut.

"Apabila mereka sudah menduduki rumah berkenaan, kita mahu mereka berusaha untuk keluarkan diri dan keluarga daripada kemiskinan. Kita beranggapan kemiskinan boleh dihapuskan melalui pendidikan."

"Pendidikan anak-anak khususnya perlu ditekankan dalam masa sama berusaha keras untuk meningkatkan pendapatan dalam kawasan masing-masing."

"Kita akan buat kajian dan keluarkan mereka dari kelompok kemiskinan dan hidup lebih baik," katanya.

Sumber Berita: Sinar Harian, 20 Jun 2009, S20



Shah Alam, 20 Jun 2009 - Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) telah diadakan julung kalinya oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat Parlimen Kota Raja di Auditorium Dewan Jubli Perak di Bangunan SSAAS Shah Alam.

Program ini diadakan bagi mengeratkan hubungan pendokong-pendokong serta aktivis parti dari Keadilan, PAS dan DAP di kawasan parlimen Kota Raja, Selangor.

Majlis disempurnakan secara rasmi oleh Dato' Sallehuddin Bin Hashim, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat dan dihadiri oleh lebih 600 peserta di kalangan aktivis parti di Kota Raja.

Empat orang kepimpinan PR Kota Raja yang terdiri dari Dr Xavier Jayakumar, Ketua Bahagian Keadilan Kota Raja (Ahli EXCO merangkap ADUN Sri Andalas), Shuhaimi Hj Shafiei (Timbalan Ketua Bahagian merangkap ADUN Sri Muda), Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja merangkap AJK PAS Pusat dan Cikgu Jaafar Shamsuddin, YDP PAS Kawasan Kota Raja turut menyampaikan pembentangan masing-masing dalam program tersebut.

Diakhir majlis, satu resolusi telah diikrarkan oleh peserta konvensyen antara lainnya:
  1. Memastikan segala tindakan dan aktiviti mengambil kira semangat Pakatan Rakyat
  2. Memberi layanan dan perkhidmatan terbaik kepada seluruh ahli, penyokong, pengundi dan rakyat Kota Raja
  3. Meningkatkan taraf perkhidmatan dan daya juang yang tinggi dari semua peringkat pimpinan
  4. Menyerlahkan sikap mesra rakyat dan berhati mulia kepada masyarakat Kota Raja
  5. Meningkatkan usaha dan mencari dan menarik seramai mungkin penyokong dan anggota masyarakat untuk menjadi ahli parti

Dilaporkan oleh,
ABDUL RAZAK ISMAIL
P.A kepada DR Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor
Media Alert

Program "Kerajaan Prihatin Bersama Rakyat"
di Dengkil Jaya, Dengkil, Selangor


Kepada Semua Editor Media


YB EXCO Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar akan menghadiri program tersebut dan akan memberi sumbangan lebih 125 hamper barangan makanan dan 3 unit kerusi roda kepada masyarakat miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya dalam majlis tersebut. Butiran adalah seperti berikut:

Tarikh: 21 Jun 2009 (Ahad)

Masa: 9 pagi

Tempat: Pusat Penjaja Taman Dengkil Jaya, dengkil, Selangor

Tuan / Puan dijemput hadir untuk membuat liputan.

Terima kasih,

ABDUL RAZAK BIN ISMAIL
(H/P: 012 396 6744)
P.A kepada Dr Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor

Merbau Berdarah - Kerajaan perpaduan bukan agenda Pakatan Rakyat (PR) sebaliknya agenda sebenar adalah membentuk kerajaan baru melalui kerjasama tiga parti Pas, DAP dan Parti Keadilan Pakyat (PKR).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, agenda kerajaan perpaduan adalah masalah dalaman Pas dan perlu diselesaikan segera.

"Pendirian saya melalui PKR, kita langsung tidak pernah bincang mengenai kerajaan perpaduan. Apa yang berlaku sekarang adalah isu dalaman."

"Mereka perlu selesaikan masalah ini sendiri sebelum ia menjadi masalah yang lebih besar dalam kalangan masyarakat dan khususnya dalam kalangan ahli Pas."

"Agenda kerajaan perpaduan sama sekali tidak menggugat PR dan sebaliknya kita melihat ia sebagai masalah dalaman Pas," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatan ketika lawatan kerja ke daerah Sabak Bernam, di sini, semalam.

Sumber Berita: Sinar Harian, 19 Jun 2009, S20
Sabak Bernam, 18 Jun 2009 - YB EXCO Selangor, Dr Xavier Jayakumar telah mengetuai lawatan ke penempatan masyarakat miskin di Desa Kaseh, Batu 2 Tebuk Pulai di Sabak Bernam.

Penempatan ini dibina dengan ehsan Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Basmi Kemiskinan 10 tahun yang lalu.

Dr Xavier juga telah menyampaikan hamper barangan makanan semasa lawatan tersebut.

Beliau turut disertai oleh pegawai-pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam, Lembaga Zakat Selangor, Penghulu-penghulu mukim dan Ketua Kampung.

Turut menyertai adalah pegawai-pegawai dari Seksyen Sektoral dan UPEN.


Dilaporkan oleh,
ABDUL RAZAK BIN ISMAIL
P.A kepada Dr Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor
top